Tuesday, May 23, 2017

DI ANTARA SEMUA BINTANG (BAB 3)

BAB 3



EVA tersenyum lebar. Comel aje kereta Axia di depan mata. Puas hati bila seluruh cermin kereta sudah tinted. Full tanked. Seperti yang dijanjikan pada pelanggannya yang buat hati tak tenang itu. Red! Ya, nama dia Red!

“Babe, bila customer kau nak sampai? Aku dah lapar dah ni.” Nashrah muncul di sebelah dengan muka kebulur macam dah tiga hari tak makan.

“Tunggu kejap. Lagi sepuluh minit dia sampai.”

“Lama wei.” Nashrah pandang jam di tangan. Kalau lambat sangat nanti tak sempat nak tidur kejap selepas makan. Mata teramatlah mengantuk dan badan pun penat semacam. Semalam tidur pukul dua belas tengah malam sebab menemani Eva buat biskut makmur. Eva memang hantu ‘baking’. Bukan musim Raya macam ni pun sibuk nak ambik order biskut. Lagi dia tak tahan kalau Eva ambik order buat biskut popiah. Dengan dia sekali dikerah untuk menyiapkan order yang berkilo-kilo.

“Then kau pergilah dulu. Kat kedai depan tu aje kan? Order untuk aku sekali. Kue tiaw goreng. Tak nak tauge. Letak udang banyak sikit.”

“Kau ingat pakcik kedekut kat depan tu murah hati nak letak udang banyak-banyak dalam mi?”

“Ala, kalau kau sebut nama aku mesti pakcik bagi punya.” Eva sengih.

Nashrah turut tergelak. Eva Chandra...sesiapa pun akan suka dan tertarik pada teman baiknya itu.
Hampir lima belas menunggu, Eva dah semakin hilang sabar. Lama gila mamat ni nak datang ambik kereta yang baru dibeli. Kalau tak difikirkan tentang sales yang amatlah diperlukan saat ini, dah lama dia angkat kaki meninggalkan showroom. Biarlah pelanggan yang menunggu.

“Eva....”

Eva menoleh pada suara di sebelah. Huh, panjang umur awak Red! Eva menghadiahkan senyuman.

“Awak lambat lima minit.” Eva tunjuk jam di tangan.

“Sorry, jalan sesak. And you waited for me.” Red kenyit mata.

Sabar, Eva. Jangan melting! “This way, please.”

Dia menunjukkan kereta yang dibeli Red. Rasa puas hati bila Red tersenyum lebar. Dia berdiri di sebelah kereta sementara Red berjalan mengelilingi kereta. Tak payah risaulah, tak ada kesan calar atau yang sewaktu dengannya. Sempat dia mengamati tubuh tinggi Red. Berbaju kemeja berwarna hijau muda dipadankan dengan fit slack berwarna hitam. Di leher tergantung necktie berwarna hitam. Tampak segak dan berkarisma.

Berkarisma? Argh, mengingatkan dia pada Shark.

“Nah. Enjoy your ride.” Kunci kereta diletakka di atas tapak tangan Red. Bagi Eva, tugasnya kini sudah selesai. Dia sudah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggannya.

“She must like this so much.” Red memasukkan kunci kereta ke dalam poket seluar.

Sorry? Eva masih dengan senyuman. “Nak bagi hadiah untuk orang ke?”

“Ya.”

“She must be very lucky.” Untunglah ada orang hadiahkan kereta. Walaupun bukan BMW ke, Nissan Fairlady ke...tapi tetap kereta baru babe! Dia punya pun kereta Axia saja, itu pun terkontang kanting nak membayar ansuran setiap bulan.  Hidupnya sekarang sudah tak semewah dulu. Dulu, apa yang dia nak semua dia akan dapat. Sekarang, kena berusaha keraslah jawabnya.

“I guess so. Satu-satunya adik yang saya ada.”

“Oh...” Adik rupanya. Ingatkan kekasih hati ke, isteri ke.

“Don’t worry, I’m still single. Going out for a date?” Red mendekat. Dia pandang ke dalam anak mata Eva.

Inilah wajah yang buat dia tak lena tidur sejak semalam. Ada tarikan pada Eva yang buat dia terkenangkan Eva hinggalah pagi ini.

Eva senyum. “Kerja saya jual kereta aje, Encik Red.”

Red tergelak kecil. Yang bermain tarik tali beginilah yang dia suka. Dia semakin mendekat hingga Eva terpaksa berundur setapak ke belakang. Gila kalau dia nak cium gadis ini di tempat begini.

“Happy birthday.  Saya datang ambik pukul enam nanti.” Tangan Red naik mahu membelai rambut Eva namun gerak tangannya terhenti. Jangan terlampau ikutkan hati dan perasaan, bro. Go slow. Dia menenangkan hati sendiri.

Eva tersenyum dan mengangkat keningnya. Mamat ni ada cermin ajaib ke kat rumah sampai boleh tahu bila tarikh hari jadinya. Dia berpeluk tubuh. Pandangannya berlawan dengan pandangan Red.

“Kalau saya tak nak?” Eva cuba jual mahal.

“I bet you will agree.”

Giliran Eva pula ketawa kecil. Yakin sungguh awak, Encik Red.

“Maybe next time.” Eva main tarik tali. Hellooooo...takkan nak setuju terus, nanti kena cop ‘otak-di-kepala-lutut’oleh Nashrah.

Red tersenyum lebar. Dia tunduk sedikit, menjadikan jaraknya dekat dengan wajah Eva yang masih tampak tenang.

“As you wish, birthday girl.”

Sejujurnya, Eva rasa macam nak terjun masuk gaung. Jantungya sudah lama berubah tempo. Entah kenapa Red mempunyai tarikan yang sangat kuat. Yang mampu membuatkan dia ‘kalah’.

Bila Red berlalu pergi dengan kereta yang baru dibeli, Eva bergegas ke kedai di seberang jalan.

“Lama gila. Customer kau dah datang belum?” Separuh daripada mi goreng basah Nashrah sudah selamat masuk perut.

“Dah.”

“Hensem kan?”

Eva pandang Nashrah di hadapan. “Kau kenal dia?”

Nashrah geleng kepala. “Baru kenal semalam.”

“So kau setuju tak dia ajak keluar malam ni?” Nashrah tanya soalan yang buat Eva terkejut.

“Macam mana kau tahu?”

Nashrah sengih. Semalam dia sempat bersembang dengan Red sementara menunggu Eva menguruskan segala borang yang patut di dalam pejabat. Pertama kali berjumpa pun dia dah tahu Red tertarik dengan Eva. Again...everyone will be attracted to Eva!

“Jadi kau lah yang bagitau dia hari ni birthday aku, kan?” Eva mengecilkan mata.

Nashrah masih sengih macam tadi.

Cisss! Bertuah punya kawan. Kalau lah dia tak sayang kawan macam Nashrah, dah lama dia tolak masuk kolam.






“BRO!”

Jay masuk tanpa mengetuk pintu. Tanpa dijemput dia duduk di atas meja, berhadapan dengan Shark.

“Kau dah kenapa?” Shark terkejut besar. Mamat ni kadang-kadang selenga jugak. Redah masuk pejabat dia macam esok hari akan dilanggar garuda.

“Aku dah jumpa dia.”

“What? Kat mana?!” Tubuh Shark terus tegak berdiri dan bercekak pinggang. Patutlah muka Jay macam riak orang yang baru lepas terjumpa ikan duyung.

“She is somewhere around.”

“Kat mana, bro? KL ni besar.” Shark makin tak sabar. Dia mendepakan tangan di atas meja. Tajam pandangannya memandang wajah Jay yang ada sinar harapan.

“Dia kerja kat Damansara.”

“Kerja apa?” Jangan cakap Eva kerja jadi pelayan kelab malam macam dulu.

“Car dealer kat Perodua. Dia...dia...” Ayat Jay terputus di situ.

“Dia apa? Dah kahwin?” Ada riak kecewa pada wajah Shark. Kalau Eva dah ada keluarga sendiri, hancur harapannya.

“Tak...dia...dia masih cantik macam dulu.” Jay berterus-terang. Jujur dia katakan, Eva memang cantik. Sedikit pun tak berubah seperti dua tahun lalu.

Shark tunduk dengan mata yang terpejam. Eva Chandra....segala kenangannya dengan Eva kini berlegar-legar di ruang mata. Satu-satunya perempuan yang mengajar dia erti cinta dan rasa kecewa.

“Bro, kalau kau nak kita boleh jumpa dia petang ni. Aku suruh Chong ikut dia dari belakang bila balik kerja petang nanti. At least kita tahu kat dia tinggal.” Jay memberikan harapan pada Shark.

Sejak Eva pergi dua tahun lalu, Shark dah macam hidup segan mati tak mahu. Hidup Shark terumbang-ambing. Shark hampir berputus asa separuh jalan. Bagi Shark, Eva adalah segala-galanya baginya.

Cinta paling agung? Mungkin tak.

Cinta paling hebat? Entahlah.

Itu adalah di antara Shark dan Eva. Cukuplah untuk dia tahu yang Eva adalah yang Shark inginkan.



P/S : So sorry, semalam saya postcall. Tak sempat update sebab saya dah sampai bulan. Eva. Shark. Red. Kisah yang simple untuk semua. Saya akan cuba untuk lebih aktif supaya blog ni tak berkarat. Good night and love loads!

Monday, May 15, 2017

DI ANTARA SEMUA BINTANG (BAB 2)

                                                                            BAB 2




EVA duduk menongkat dagu. Oh mai...apalah nasib dia bulan ni. Sales tak banyak sedangkan dah masuk tengah bulan.  Kalau tak mencapai target, terpaksalah dia part time cuci pinggan di kedai makan seberang rumah kalau macam ni.

Dia pandang Nashrah yang sedang melayan pasangan suami isteri tak jauh dari situ. Untunglah Nashrah, hari ni pasti dapat sales lagi. Yang dia pulak sampai kena hinggap langau pun belum ada pelanggan yang menyangkut.

Kring!

Eva memanjangkan leher bila pintu utama showroom terbuka. Yes! Pelanggan baru! Tubuh Eva terus tegak dan menuju ke arah seorang lelaki yang baru melangkah masuk.

“Selamat pagi, encik. Nak cari kereta?” Teramatlah shitty sungguh soalanmu itu, wahai Eva. Kalau orang masuk ke showroom macam ni takkan nak cari ikan tenggiri kot.

“Good morning. Nak survey kereta.” Red senyum. Kalau ikut versi nakalnya, dia nak kenakan si gadis yang memberikan soalan Abuden. Tapi tak sampai hati....wajah kat depan ni sangatlah innocent dan...cantik!

“Sure, no problem. Have a look.” Eva memberi laluan. Dia hanya mengekori dari belakang.

“Ada promosi tak sekarang?” Red menoleh ke belakang. Serius wajah si gadis menarik perhatiannya. Tak rugi masuk random showroom hari ini untuk mencari kereta yang kononnya nak dihadiahkan pada Adik.

“Encik nak model yang mana satu? Untuk model Axia, kita ada rebate terutamanya Axia Facelift model baru. Kalau nak yang full spec, saya boleh beri rebate RM3500. Kalau tak dapat bayar down payment, full loan pun boleh. Yang penting ada slip gaji. Selain daripada itu....” Mulut Eva mula petah bercakap. Memandangkan sales bulan ini merundum jatuh, kenalah berusaha keras meyakinkan pelanggan supaya membeli model yang berkenan di hati.

“What colors do you have?” Red potong ayat si gadis dan kini berdiri berdepan dengan si gadis yang bernama....Eva! Nasib baik ada tag nama tergantung di leher si cantik.  Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket. Mata memang tak lepas memandang si empunya badan.

“We have white. Silver. Black. Yellow. Red. Green. Blue.” Eva menjawab dengan senyuman. Oh please, I hate blue! Dahl ah model display kat dalam showroom ni pun berwarna biru jugak.

“Apa beza setiap warna?” Sebenarnya Red malas nak dengar penjelasan tentang spesifikasi kereta. Nak belikan untuk Adik aje pun. Asalkan kereta yang ada empat tayar dan siap ada pintu pun sudah mampu membuatkan Adik lompat bintang sampai tak ingat dunia.

“Sorry?” Eva mendekatkan wajahnya. Tak faham dengan soalan lelaki di hadapannya ini.

Red tersenyum. Dia mendekat. Jarak di antara mereka berdua hanyalah beberapa inci saja. Dia tunduk sedikit.

“What color do you like?” Soalan Red perlahan saja.

Oh...sila jangan melting! Eva berdehem. Dia menjauh sedikit. Entah kenapa detak  jantungnya tak sekata.

“I prefer white. Metallic white.” Sejak bila kau gagap, Eva oi?

“Then saya pilih warna putih. Axia warna putih.” Red masih tersenyum. Wajah Eva yang berubah di hadapan buat dia nak tergelak. Comel!

“Erm..boleh. Encik nak full spec? Basic? Full loan atau dengan down payment? I think we better discuss further regarding this. This way please.” Eva membalas senyuman dan mempelawa agar pelanggan barunya mengikutinya ke meja bulat yang berdekatan. Dalam hati dah bersorak riang. Ada sales nak masuk!

“Full payment for full spec.”

“Hah?” Spontan Eva berhenti dan berpaling semula ke belakang.

“What the?” Red turut berhenti hingga jarak mereka berdua teramatlah dekat.  Terkejut gila. Bahaya si cantik ni. Bikin hati kacau.

“Eva....you have a nice name.”

“Excuse me?” Eva terkejut. Macam mana dia tahu nama aku? Oh, terlupa. Tag nama kat depan ni takan nak dibuat sebagai hiasan baju. Dan jarak di antara mereka berdua yang amat dekat buat jiwanya bergetar bila haruman yang dipakai Red menusuk ke dalam hidung. Ni mesti Red pakai Paco Rabane.

“Saya nak beli Axia warna putih. Full spec. Full payment. Anything special you would offer me for that?” Red ulang ayat yang sama, dengan harapan cuba memikat dengan suara garau miliknya.

“Err...saya boleh bagi rebate RM3500. Then saya boleh bagi free tinted. Full tanked.” Itu saja yang mampu Eva tawarkan. Lagipun sales untuk sebuah kereta tak banyak mana pun. Kalau nak offer yang lebih banyak untuk pelanggan dia terpaksa cari duit lebih.

“How about going out for a date?”

“Excuse me?” Eva berlawan pandang dengan lelaki bermata coklat di hadapan. Oh again....sila jangan melting!

Red tergelak kecil. Dia mendekat dan berbisik ke telinga Eva.

“I’m Fareed. In case if you’re wondering.”

“Kalau susah sangat nak ingat, can just call me Red,” sambung Red lagi. Berkali-kali dia puji di dalam hati, Eva sangat cantik dan menarik.

Eva terdiam. Lawa nama! Red?

Dulu biru...

Sekarang merah....

Damn! Entah kenapalah hidupnya dikelilingi oleh warna-warni lelaki?





“SHARK, belum ada apa-apa maklumat lagi pasal dia.”

Shark mengeluh. Dia bersandar belakang kerusi. Awan biru di hadapan mata dipandang kosong. Berita yang disampaikan amatlah tak mengujakan hatinya yang sudah lama mengharap.

“Mana lagi nak cari dia, bro. Aku rasa dah satu KL kita cari, tapi tak jumpa jugak.” Shark kecewa. Takkan nak pergi cari bomoh kat hujung kampung dan minta tolong tengokkan di mana Eva melalui air di dalam baldi. Kalau desperado sampai macam tu sekali, memang kerja gila tahap terputus wayar di kepala.

“Jangan putus asa. Kita cari lagi sampai dapat.” Jack menenangkan hati temannya yang semakin parah.  Walau dalam hati dah tak tahu nak cari di mana lagi.

“Aku risau dia pergi jauh. Keluar dari KL.” Shark paling takut jika itu yang terjadi. Malaysia ni bukan kecik. Penduduk pun dah berjuta-juta dan kebarangkalian untuk mencari si dia adalah teramat nipis. Dia sudah hampir berputus asa tapi rindu yang menebal buat dia terus cuba  dan berusaha untuk mencari. Malah masih menaruh harapan yang tinggi menggunung.

“Dia takkan pergi jauh, bro. Kita akan cari sampai dapat.” Jack mengambil tempat duduk di hadapan Shark.

“Esok hari jadi dia.” Shark menghembuskan nafas berat.

“She must be somewhere. Jangan risau. Dia pandai jaga diri.”

“Aku tak faham kenapa dia tinggalkan aku.” Shark masih tak faham dan tak ada jawapan itu soalan sendiri.

“Cari dia sampai dapat, bro. Aku tak peduli kalau kita kena cari satu Malaysia sekalipun.”
Tinggi cita-cita Shark. Jauh di sudut hati dia masih mengharap agar Eva kembali semula padanya.

“Kau dah cari kat semua kelab?” Shark memalingkan semula kerusinya menghadap Jack.

Oh, shit! Jay membetulkan duduk. Dia menggelengkan kepala. Terlupa nak mencari di tempat begitu.

“Those used to be her favourite places. Cari di setiap kelab.  I’m sure she is somewhere around.” Shark berpeluk tubuh.

Eva Chandra...ke mana menghilang. Adakah dia tak cukup baik untuk perempuan sehebat Eva?

Kemewahan.
Keseronokan.
Cinta dan sayang.

Semua sudah dia berikan pada Eva. Tapi di akhir kisah mereka berdua, dia ditinggalkan juga akhirnya. Malah Eva pergi di saat dia betul-betul perlukan Eva di sisi.

“Walau macam mana susah pun, cari dia sampai dapat. Aku masih perlukan dia. At least for now...” Bingkai kecil di atas meja dicapai Shark. Gambarnya memeluknya Eva dari belakang di Seoul Tower ditatap.

Eva Chandra yang cantik...
Eva Chandra yang unik...
Eva Chandra yang boleh buat dia sampai ke bintang...
Dan Eva Chandra jugalah yang buat dia terluka teruk  hingga kini....



P/S : Esok oncall. So saya update malam ni. Enjoy reading, which I hope you all did. Nanti bagi bunga purple ya. I just can't resist *LOL. Good night and love loads! 

Friday, May 12, 2017

DI ANTARA SEMUA BINTANG BAB 1

BAB 1



            EVA CHANDRA
            Eva membetulkan comforter yang menyelimuti tubuh. Malas tahap gaban nak bangun pagi. Kalau boleh dia nak tidur sampai matahari terpacak tegak atas kepala. Tapi....

            Dengan malas dia bangkit dari katil. Berus gigi. Cuci muka. Mandi. Pakai baju. Dalam masa tiga puluh minit....siap!

            Hari ini adalah Isnin. Siapa yang rajin pergi kerja pada hari pertama setiap minggu memang dia salute. Sebab dia tak pernah bersemangat nak pergi ke pejabat pada hari Isnin. Monday Blues tahap tak tahu  nak cakap apa.

            “Babe, kau dah siap belum?” Nashrah muncul di muka pintu.

            Eva pandang di sebalik cermin di hadapannya. Nashrah, memang ajaib kalau minah ni ketuk pintu sebelum masuk.

            “Jap. Lima minit.”

            “Pakai kereta kau, ya. Aku malas nak drive hari ni.”

            “Pernah tak kau tak malas drive untuk pergi kerja?”

            Nashrah sengih.

            Car pool ajelah kalau malas nak bawa kereta aka jimat minyak. Dia dan Eva dah lama kenal. Membesar bersama sejak kecil, dah macam adik beradik.

            “Kau okey tak ni?” Nashrah berdiri berpeluk tubuh di belakang Eva.

            “Kenapa pulak?” Eva pelik.

            “Baju tu.”

            “Oh!” Eva tepuk dahi sendiri. Agaknya pagi ni dia kena rasuk jembalang hutan. Ribut tak ada, hujan tak ada..tiba-tiba pakai blouse berwarna biru. Cepat-cepat dia berlalu ke almari, oh pleaselah jangan pakai baju berwarna biru.

            “Kau masih teringatkan dia?”

            Eva tak menjawab soalan Nashrah. Tangan masih membelek pakaiannya yang bergantung di dalam almari.

            “Babe...”

            Gerak tangan Eva terhenti bila bahunya dipaut Nashrah. Dia tarik nafas dalam...bertabahlah wahai Eva!

            “Kau masih rindukan dia.” Nashrah dapat mengagak apa yang tersirat di hati Eva.

            Eva pejam mata. Please dear me...again, sila bertabah!

            Biru itu indah...
            Biru itu cantik...
            Biru itu unik...
            Biru itu dia...

            Damn!




            SHAKIR JAYDEN
            Isnin. Sama saja macam hari-hari yang lain, tak ada beza pun. Hari ini banyak yang perlu dia uruskan. Biasalah, kerja takkan pernah habis. Cuma kena pandai mengatur masa supaya kepala tak serabut dengan hal kerja.

            Tok! Tok!

            “Ya, Jane. Masuk.” Shark memusingkan kerusinya. Sebaik pintu dibuka, Jane tersenyum padanya.

            “Selamat pagi, bos. Coffee or tea?” Jane berdiri di hadapan Shark dengan senyuman yang masih tak lekang di bibir. Mood Shark susah untuk diagak. Jadi kalau tak nak kena tiaw pagi-pagi begini kenalah senyum sampai telinga.

            “Tak apa. Saya dah sarapan pagi. Nanti kalau Mr Tan dah sampai, kindly let  me know.”

            Sorry? Aku salah dengar ke atau hari ni angin bos sangat baik? Sejak dua tahun Jane bekerja di sini, tak pernah Shark skip minum pagi di pejabat.

            “Bos sarapan kat mana?” Maaflah, rasa ingin tahu Jane terlalu tinggi. Makan dengan siapa? Di mana? Serius dia nak tahu semua itu.

            Shark tergelak. “Kat warung depan tu aje. Nothing special.” 

            Kerusinya dipalingkan menghadap cermin tingkap yang besar di depan mata. Nothing special but it is something. Bersarapan pagi setiap Isnin mengingatkan Shark dengan dia. Dia mendongak memandang langit. Birunya! Sangat cantik! And ya...

            Biru itu indah..
            Biru itu cantik...
            Biru itu unik...
            Biru itu dia!




            FAREED JAZLEY
            “Adik, cepat sikit boleh tak?” Red menjerit dari tingkat bawah. Dah lah lambat. Kalau tak bertolak sekarang, silalah meredah kesesakan jalan yang mengalahkan panjangnya Anaconda di Amazon.

            “Jap. Along. Belanja breakfast.” Muncul di adik dengan senyuman paling manis abad ini. Farisha berlari anak menuruni tangga.

            “Adik lah yang belanja. Ingat Along tukang cop duit ke?” Red ulang ayat yang sama untuk kali yang ke-33 dalam hidup.

            Muncung Farisha panjang. “Entah apalah nasib dapat abang yang kedekut macam Along.”

            Red tersengih. Kepala adik tunggalnya diusap lembut. “Nak breakfast apa?”

            “Yeaaaa! Alonglah abang yang paling baik kat muka bumi.”  Tubuh Red dipeluk Farisha.

            “Mama. Kami gerak dulu.” Dua beradik itu berlalu meninggalkan perkarangan rumah bila kereta Red memecut laju.

            “Along, belikan kereta untuk Adik boleh tak?”

            “Tunggu daun pokok mangga Mama kat belakang rumah tu bertukar jadi duit ya, Adik.”

            Muncung Farisha panjang lagi. Terimalah hakikat bahawa Along teramatlah kedekut.

            “Ala, kalau Adik ada kereta then Along tak payah susah-susah hantar pergi kolej.” Farisha masih cuba memancing, mana tahu Along berubah menjadi baik hati.

            “Along tak kisah hantar setiap hari.”

            “Ye lah tu. Hari-hari jerit dari tingkat bawah...Adik, cepat sikit. Adik, Along dah lambat. Adik, nanti jalan jam. Bla bla bla...” Suara Farisha bertukar garau, nak tiru cara Along kesayangan bercakap.

            Pecah ketawa Red. Damn! Adik memang pandai kenakan dia.

            “Along, bila nak kahwin?” Farisha tukar topik.

            “Tunggu dayang turun dari langit.”

            “Along, Adik tengah serius ni.”

            “Along pun tengah serius.” Red menahan ketawa. Serius, dia bukan dewa jodoh. Boleh tahu bila jodoh datang. Boleh tahun bila tarikh dia berkahwin. Muda pun lagi, tak payahlah nak bergegas sangat menamatkan zaman bujang.

            “Nak Adik tolong carikan?” Farisha di sebelah keluar dengan idea luar alam. Ramai kawan di universiti yang sesuai untuk Along. Dia boleh tolong carikan, Along tinggal nak pilih aje.

            “Tak payah. Along cari sendiri.” Red jeling Farisha. Rasa nak tergelak pun ada. Pasti Adik ingat nak cari calon isteri macam cari kulit siput kat tepi pantai.

            “Along masih teringatkan yang lama?” Farisha mencari wajah Red. Dulu Along ada teman wanita. Berjanji nak sehidup semati tapi perempuan bertuah tu tinggalkan Along. Nasib baik Along tak jadi gila sebab putus cinta. Entah di mana perempuan tu sekarang. Farisha berharap perempuan macam tu dah hilang di sebalik hutan hujan tropika yang tebal kat Kalimantan.

            Red tersenyum nipis. Itu hal lama. Jangan dikenang lagi Adik. Dia sudah mencuba sehabis baik untuk melupakan cerita lama.

            “Tak apalah, Along. Nanti Along akan dapat perempuan yang jauh lebih baik daripada dia.” Farisha menyedapkan hati si abang.

            Dan Red? Dia masih tersenyum nipis macam tadi. Kata-kata itu satu doa, Adik. And million of thanks for that!

           
p/s : Blog ni dah lama bersarang. So cita-cita nak motivasikan diri sendiri dan aktifkan semula blog yang dah berkurun ni. Untuk yang telah mendapatkan Ku Tunggu Dudamu (KTD), terima kasih yang tak terhingga diucapkan. Untuk online order, boleh hubungi Pihak Penerbitan Idea Kreatif atau Kak Ayu Dzulkarnain di Facebook. 

Eva. Shark. Red. Kisah baru yang mungkin akan buat kita ketawa, geram, rolling eyes...and a bit of tearing eyes maybe ;) Love loads!