Sunday, February 28, 2021

HAZEL (BAB 2)

 





BAB 2

 

 

SAMPAI di rumah banglo yang besar di depan mata, Azat memberhentikan kereta. Entah kenapa perasaan rasa tak sedap bila Hazel ajak ke sini.

“Hazel, are you sure you want to come here?” Azat bertanya dan memandang Hazel di sebalik cermin.

“Kita dah sampai dah pun.” Hazel tersenyum nipis dan keluar tanpa menunggu lama. Mata melilau melihat sekeliling. Semuanya masih tampak sama, cuma suasana saja yang terasa sangat berbeza berbanding dulu.

Bro, mati kita kalau Tuan Bahrain tahu.” Berkerut kening Jai. Balik dari tanah perkuburan, Hazel ajak ke rumah mentua aka rumah keluarga Hariz. Memang kerja gila namanya.  Memang Hazel sengaja menyerahkan diri ke dalam mulut  harimau kot.

“Aku lebih risaukan keselamatan dia sekarang ni.”

Takkan Hazel tak sedar yang gadis itu kini adalah musuh utama keluarga Hariz? Keluarga mana yang akan terima semula menantu yang merupakan seorang pembunuh? Keluar dari perut kereta, Azat berdiri betul-betul di depan Hazel.

“Hazel, jangan buat kerja gila boleh tak? Semua orang dekat dalam rumah ni….”

I know. Semua orang benci saya. Tapi tak manis kalau saya dah balik tapi tak datang jenguk mentua.”

Azat menarik nafas dalam. Dia dah bercekak pinggang. Baru tak lama dengan Hazel, dia dah tak suka perangai Hazel yang suka potong ayat sebelum orang habis bercakap. Wajah selamba Hazel ditatap tajam.

Don’t worry A9. I will be fine. Kalau tak, saya takkan ajak kita datang ke sini.” Hazel tersenyum nipis. Dia dah bersedia untuk segala kemungkinan yang akan berlaku. Paling teruk pun mungkin akan dibelasah oleh keluarga Hariz, kalau sampai ke tahap untuk bunuh dia memang taklah. Dia mahu melangkah pergi namun lengannya dicapai lelaki itu.

“Saya masuk sekali dengan awak.”

“Tak payah, this is only between me and mama.” Hazel tak mahu keluarga Hariz terutamanya mama beranggapan yang dia sengaja datang cari hal sekali dengan bodyguard segala.

Azat dah tak tahu macam mana untuk menghalang Hazel. Jai yang tak jauh dari situ dah siap panggil dia suruh jangan cakap banyak, ikut saja kehendak Hazel. Tie pin yang tersemat di tali leher dibuka dan diletakkan di dalam beg tangan Hazel. Terpinga-pinga Hazel, nak bertanya tapi mulut terkunci.

“Just press the small button if you need help.” Azat berbisik perlahan. Saat itu juga pautan pada lengan Hazel dilepaskan perlahan.

Hazel pandang tanpa kedip. Adakah lelaki di hadapannya ini betul-betul mengambil berat atau hanya dia saja yang berperasaan begitu? Tanpa kata, dia melangkah pergi. Nafas ditarik dalam, dia perlu tampak selamba dan yakin walaupun gundah di hati hanya Tuhan saja yang tahu sebab dah lama tak berjumpa dengan keluarga Hariz. Bila dia berpaling seketika, anggukan kepala lelaki itu sudah cukup untuk meyakinkan yang dia akan selamat tak kira dalam apa situasi pun yang bakal dia tempuhi.

“Apa yang kau bagi dia?” Jai berdiri di sebelah Azat. Tadi tak sempat dia menyampuk, nak curi dengar pun tak dapat sebab Azat berbisik.

“Tie pin.”

“Kau memang dah agak Hazel akan perlukan pertolongan dekat dalam tu?”

Azat tak cakap apa. Dia bersandar di tepi kereta dan menghantar Hazel dengan pandangan mata hinggalah Hazel menghilang di pintu utama.

 


SEMUA mata yang memandangnya tampak marah dan benci. Bila dia menyapa dan memberi salam, tak ada seorang pun yang membalas.

“Mama apa khabar?” Mata Hazel tertancap pada wanita tua yang duduk di kerusi roda. Pandang dia macam nak makan dia tapi dia buat tak tahu. Dia terlalu rindukan mama yang sangat membencinya.

“I was okay until you came here.” Suzana mengetap bibir. Sungguhlah Hazel adalah orang yang dia langsung tak nak tengok sampai dia mati. Melihat wajah selamba dan tanpa riak bersalah Hazel, marahnya semakin membuak.

“Kenapa kau datang ke sini? Aku ingat kau dah mampus. Kau ingat dah bertahun berlalu, kami dapat lupakan apa yang kau dah buat pada Hariz?!”

Hazel diam saja bila suara mama meninggi. Jujur cakap, dia pun masih tak dapat melupakan segalanya. Malah kalau dia terlalu ikutkan hati, dia masih takkan dapat move on dan meneruskan hidup hingga ke hari.

“Hazel datang cuma nak tengok keadaan mama. I’m happy that you are doing good.” bergetar suara Hazel. Dia pandang wajah tua  yang memerah itu. Biarpun dari luaran dia tampak tenang, tapi di dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu betapa terlukanya dia.

“Aku tahu kau puas hati bila tengok hidup kami merana. Patutnya aku jangan jodohkan kau dengan Hariz dulu. If only Hariz is still alive, dia pasti menyesal beristerikan kau!”

Ah, damn! Hazel telan satu persatu apa yang mama katakan. Dia pilih untuk berdiam saja sebab dia tahu kalau mereka saling berbalah kata, dia pasti kalah. Dia tunduk, tanda hormat pada mama sebelum berpaling pergi.

“Hazel.”

Langkah kaki Hazel terhenti saat dipanggil. Saat menoleh ke belakang semula, satu tamparan yang kuat hinggap di pipinya tanpa sempat dia mengelak.

“Itu adalah untuk keberanian kau datang menjejakkan kaki ke rumah ini setelah apa yang kau dah buat.”

Saat dia mengangkat wajah, tamparan kedua pula hinggap di pipi yang sama. Kali ini hampir dia tak dapat mengimbangi badan. Sungguhlah dia tak sangka Hazim, abang Hariz sanggup sampai tangan padanya. Abang ipar yang dulunya yang sangat ‘kamceng’ dengannya rupanya sudah turut membenci.

“Yang tu pula adalah peringatan supaya jangan datang ke sini lagi. Kalau kau muncul depan mama lagi, aku akan bunuh kau dengan tangan aku sendiri seperti mana yang kau dah buat pada Hariz.” Bergerak-gerak rahang Hazim menahan rasa. Ikut hati dia nak cekik Hazel sampai mati. Dia tak mahu Hazel melihat dunia ini esok dan untuk hari yang seterusnya. Tapi dia perlu sabarkan hati. Kalau dia buat begitu, tak ada bezanya dia dengan perempuan kejam macam Hazel.

Hazel mengelap  hujung bibir. Rasa pedih yang tak terkata dia tolak tepi. Melihat cairan merah yang dilap dengan hujung jari, dia mengetap bibir. Jangan menangis, pretty lady! Kau mesti tunjukkan yang kau kuat dan tak goyah. Dia pujuk diri sendiri di dalam hati.

Bila Hazim mara lebih dekat untuk melayangkan penampar ketiga, ada tangan yang menghalang lelaki itu.

“Kalau betul awak rasa Hazel kejam, apa beza awak dengan dia bila awak sanggup sampai tangan pada dia? Awak lelaki, dia perempuan. Kekuatan dia tak setanding awak.”

Hazim terkejut. Hazel juga tak terkata. Bulat matanya memandang A9 di sebelah sebelum lelaki itu memaut bahunya. Tanpa kata Hazim menarik lengannya kasar. Rasa malu tak usah cakap, biarpun pedas tapi ayat lelaki itu menyedarkan dia yang sudah bertindak jauh.

“Come.” Azat memberi laluan agar Hazel berjalan di hadapannya.

Tanpa membantah, Hazel menurut saja. Dia cuba untuk terus pandang ke depan dan beriak selamba. Air mata yang hampir jatuh akibat pedih di pipi dan bibir ditahan sebaik mungkin. Namun dia sebenarnya kalah….masuk saja ke dalam perut kereta, air mata menitis membasahi pipi. Sedaya upaya dia mengetap bibir agar tangisannya tak pecah. Dia dah jangka semua ini akan terjadi padanya tapi dia tak sangka yang dia tak sekuat mana. Walau macam mana pun dia bersedia, dia masih lemah.

Azat dan Jai diam saja di tempat duduk hadapan. Azat pandu pun perlahan saja, sesekali dia pandang Hazel dari sebalik cermin. Terselit rasa kasihan pada Hazel yang memandang ke luar tingkap. Letak diri sendiri di tempat Hazel, dia pun akan turut sedih bila kedatangan tak diundang. Tapi bila letak diri di tempat keluarga Hariz, Hazel memang layak dapat penampar sebjik dua setelah apa yang dia buat pada Hariz.

Perlahan-lahan Azat memberhentikan kereta di tepi jalan, membuatkan Jai dan Hazel sama-sama terkejut.

“Kenapa bro?” Muka Jai berubah panik. Bila dia menoleh ke belakang, tak nampak pula ada yang mengekori mereka dari belakang.

“Keluar dan menangis sepuas hati sebelum awak balik rumah. Kalau Tuan Bahrain tengok keadaan awak macam ni, dia akan risau.” Mata Azat bertembung dengan Hazel di belakang. Mata dan hidung Hazel dah merah dia tengok. Walaupun hanya melihat dari cermin, tapi pipi kanan gadis itu jelas merah. Hujung bibir juga masih ada kesan darah tadi.

Hazel menarik nafas dalam. Semakin kuat bibir diketap, semakin laju air matanya mengalir. Tanpa menunggu lama dia keluar dan berdiri di kereta, menghadap hutan belantara dan bukit. Selalunya pemandangan begini akan mendamaikan hati tapi hari ini tak pula.

Hati semakin merindu. Hati rindukan hidupnya yang dulu. Dia betul-betul seseorang untuk setia di sisinya seperti dulu. Tapi semua itu takkan mampu diputar kembali. Yang telah pergi tetap takkan kembali.

Semakin lama, tangisannya semakin kuat kedengaran hinggakan dia terduduk di situ. Hilang rasa sakit di pipi dan hujung bibir. Yang sakit kini adalah hati dan perasaan dendam yang muncul semula.

Dia mendongak bila ada susuk tubuh yang berdiri di sebelah. Lelaki itu menghulurkan sapu tangan padanya.

Cry as much as you want. For sure awak tak nak orang tengok keadaan awak macam ni bila sampai rumah nanti.” Azat tolak semua rasa negatif pada Hazel sebab rasa kasihannya melebihi semuanya saat ini. Tak sangka wanita yang selama ini digeruni dan dikatakan ‘the villain woman’ masih punya hati dan perasaan. Wanita yang dikatakan tak berhati perut ini masih boleh menangis.

Hazel tak mampu menolak dan huluran dicapai. Pertama kali ada yang tolong dan fikirkan tentang keselamatan dia. Ada yang tolong fikir tentang reputasinya bila berdepan dengan keluarga sendiri nanti.

“Thank you….”

Itulah pertama kali dia berterima kasih setelah sekian lama. Azat di sebelah pula hanya diam saja. Baru hari pertama kali bekerja dengan Hazel dah banyak drama yang dia tengok, lepas ni tak tahu apa lagi. Jai di tepi kereta memberi isyarat agar mereka perlu bergerak tapi Azat menggeleng. Biarlah dulu Hazel melayan perasaan.

“Berapa banyak musuh yang awak ada?”

Soalan Azat beberapa ketika kemudian buat Hazel mendongak semula sebelum dia berdiri menghadap lelaki itu.

“Kenapa awak nak tahu?”

“So that at least we know how far we have to prepare.”

“Just prepare whatever you have. Pistol. Bom. Sniper. Everything.” 

Azat menahan rasa. Dia tanya soalan serius kut, Hazel dekat depan ni selamba aje jawab macam tak guna otak. Keselamatan Hazel bukan boleh dibuat main.

“I have countless of enemies. I was contemplating whether or not I should come back to Malaysia…and now here I am.” Bagi Hazel, keputusan untuk balik ke sini adalah sangat berat. Dia bersedia dan siap plan awal-awal rancangan untuk menjatuhkan semua musuhnya satu persatu.

I get the hint. Saya dan J7 akan….”

“Yes, please. Lindungi saya dari semua bahaya.”

Azat menarik nafas dalam. Nampak gaya dia kena biasakan diri dengan perangai Hazel yang suka potong ayat orang lain separuh jalan. Nak sembur depan-depan tapi memandangkan Hazel masih bersedih dan ditampar, dia tak nak ‘tampar’ dan menambah sakit di hati Hazel.

“Cuma satu yang saya pinta. Kalau kita berada dalam situasi yang sangat bahaya, as in di antara hidup dan mati….tinggalkan saya. Saya nak awak dan J7 selamatkan diri masing-masing.”

“Kenapa?” Berkerut dahi Azat. Kali ini Hazel mara setapak, dan jarak mereka berdua semakin dekat.

At least saya aje yang akan mati, jauh lebih bagus daripada kita mati semua. Saya tak rugi apa-apa dan takkan ada yang akan meratapi pemergian saya. Tak ada siapa yang perlukan saya. Tapi kamu berdua….saya yakin kamu berdua ada keluarga dan orang tersayang yang masih memerlukan.”

Azat terdiam tanpa kata. Dia pandang ke dalam anak mata Hazel. Sakit. Kecewa. Sedih. Jelas semua rasa itu di sinar mata Hazel. Betulkah ini wanita yang dikatakan wanita paling kejam? Sebab apa yang dia rasa tentang Hazel sekarang adalah vice versa.

Siapa sebenarnya Hazel? Azat mula tertanya….

“Macam mana awak tahu yang saya perlukan pertolongan di rumah keluarga Hariz tadi?” Itu yang Hazel nak tahu. Dia langsung tak sentuh tie pin yang A9 berikan, apatah lagi untuk menekan butang kecil yang A9 maksudkan.

Azat tak menjawab. Kalau dia cakap dia ikut kata hati, Hazel pasti gelak dan tak percaya. Sudahnya soalan Hazel dibiarkan berlalu pergi.

 

p/s : E-book or hardcopy, which one do prefer dear readers? Happy Sunday and have a good rest. Take care and stay safe!



No comments:

Post a Comment