ROZA MELUR WANGI
Lapan degree Celcius.
Angin yang sepoi-sepoi.
Langit yang cerah dan matahari sudah mula memancar terang di atas kepala.
Roza menarik nafas dalam. Nampaknya hari ini cerah berbanding semalam. Di luar bakeri miliknya, dia berdiri meregangkan otot dan sambung tarik nafas dalam beberapa kali. Nyaman dan segar udara di sini, terasa macam di kampung halamannya di Lenggeng. Bezanya kalau di Lenggeng, awal pagi aje dapat merasa udara begini. Kalau di Prague ni, dari pagi sampai ke malam memang segar memanjang.
“Hey, good morning my darling Roza!”
Ah, sudah! Awal pulak si Reza hari ni. Reza dilihatnya berjalan ke arahnya dengan senyuman paling lebar di dunia.
“Good morning. Mimpi apa datang awal sangat hari ni?” Roza mengerling jam di tangan. Baru pukul lapan pagi. Biasanya pukul sembilan lebih baru batang hidung Reza muncul.
“Semalam I mimpi indah, kahwin dengan you.”
“Kalau bagi I, itu adalah mimpi ngeri.”
Pecah tawa Reza, tak jadi dia nak fist bump dengan Roza. Kiranya pick up line tak menjadilah. Hampir setiap hari dia taburkan ayat-ayat jiwang untuk Roza, tapi semua tak jalan. Roza kan satu dalam sejuta, sampai dia tak tahu lagi cara lain untuk tackle hati beku gadis cantik di hadapannya ini.
“Nak minum dulu atau terus gerak?” Itu soalan Roza setiap kali bila Reza datang awal ke bakeri.
“I gerak terus ajelah. Lepas singgah hantar pastri you di Billa, I kena pergi ke kafe terus. Ada private event tengah hari nanti.”
“Wedding proposal lagi ke?”
Ketika itu mereka berdua sudah beriringan masuk ke dalam bakeri. Croissants dan macaroons yang Reza perlu bawa sudah dibungkus di dalam individual packaging dan disusun cantik di atas tray. Ada lima tray besar kesemuanya, dan Reza yang tolong hantarkan ke kedai-kedai berdekatan termasuklah supermarket Billa.
“Yup.” Reza jawab pendek.
“Apa tema kali ni?”
“Love is in the air. Customer tak nak suasana yang terlampau romantik, cukup sekadar ringkas tapi kehangatan cinta tu sangat terasa.”
Pekebende tema pelanggan yang Reza minta ni. Roza angguk aje kepala buat-buat faham. Patutlah Reza minta dia buatkan macaroons dua tona warna, light pink dan merah. Kemudian dia salutkan sedikit dengan coklat Kinder yang dicarikan sebelum dihiasi dengan gold leave flakes.
“Wowww! I’m really in love with your macaroons, Roza.” Reza memuji ikhlas. Punyalah lawa macaroons yang dah tersusun cantik di dalam bekas lutsinar yang Roza hulurkan padanya. Rasa sayang pula nak makan. Kalau bab buat macaroons, Roza memang nombor satu. Mintalah apa flavour sekalipun, atau sebut aje tema apa nak semua Roza boleh kawtim.
“Sebab tu you setia dengan maracoons I kan. Dekat Prague ni you tak jumpa lagi macam macaroons yang I buat.”
“Bukan aje setia dengan macaroons you, dengan you sekali pun I setia sampai bila-bila Roza.”
Roza gelak. Reza dan pick up line berpisah tiada, ada aje keluar idea Reza yang entah apa-apa. Kalau perempuan lain mungkin lama dah terpikat dengan Reza yang boleh tahan kacak di hadapannya ini. Masalahnya Roza langsung tak tersangkut. Dah memang dia alah dengan pick up line sejak azali nak buat macam mana.
“Tahun ni you balik Raya tak? Or…will you still be here celebrating with Kelly dan Joey?”
Roza terdiam sejenak. Random betul soalan Reza padanya. Kemudian dia buat-buat sibuk menyusun semula pastri di atas tray yang Reza letakkan di atas troli walaupun susunan memang dah sedia cantik dari awal.
“Roza…”
Kali ini perlahan suara Reza. Dia tahu Roza tak jawab bukan sebab Roza mengelak dari menjawab soalannya. Tapi sebab Roza memang tak ada jawapan. Dia senyum bila Roza pandang dia tanpa kata.
“You don’t have to answer that if you don’t want to. Tapi kalau you plan nak balik bagitau awal-awal ye.”
“Kenapa? Nak belanja I tiket balik?”
“Tak, tiket kenalah beli sendiri. Tapi I nak persiapkan diri untuk jumpa orang tua you. I nak masuk meminang.” Reza kenyit mata.
Roza melepaskan tawa dan menggeleng. Reza…Reza….ada-ada saja temannya itu. Di saat dia gundah dengan pertanyaan Reza tadi, terhibur juga hatinya dengan lawak tak menjadi Reza.
I harap you akan jumpa perempuan yang jauh lebih baik dan sesuai untuk you, Reza. Ayat itu, Roza sekadar sebut di dalam hati. Dia betul-betul berharap yang Reza akan bertemu jodoh yang terbaik untuk lelaki itu.
Bukan sebab Reza tak sesuai untuk dia.
Bukan juga sebab Reza bukan jenis lelaki pilihan hati.
Tapi sebab seorang Roza Melur Wangi sudah dimiliki….
AMIN SYAH
HARI yang sibuk.
Suasana rumah yang sangat riuh.
Ditambah lagi dengan lagu-lagu yang dipasang bergema di seluruh ruang rumah dan tak ada satu yang dia berkenan di hati.
Amin melepaskan keluhan dan mata melilau melihat sekeliling. Seriuslah rumah penuh dengan sanak saudara hari ini. Ada yang dia kenal, ada yang dia dah lama tak jumpa. Yang dia langsung tak kenal pun banyak.
“Along, Fiqah datang tak?”
Amin menoleh pada si adik yang muncul di sebelah.
“Tak kut. Dia busy sikit hari ni, ada kerja yang tak settle lagi.”
“Sibuk atau sebab takut nak datang ke sini?”
“Ijan…”
Ijan jungkit bahu, senyum sinis lepas tu pergi tinggalkan Amin yang memandangnya tajam di depan pintu.
“Kut lah dia datang tiba-tiba nanti, adik cakap awal-awal yang adik sangat tak suka dia tau.” Kiranya itu adalah hint Ijan untuk mengingatkan si abang supaya jangan salahkan dia kalau dia tak melayan kekasih tak diundang abangnya itu nanti.
Amin diam tak balas apa. Bukan adik bongsunya saja yang tak sukakan Fiqah, boleh dikatakan seluruh keluarga tak suka. Sebabnya satu saja....sebab semua sukakan Roza.
Roza kan menantu pilihan keluarga. Roza juga adalah gadis paling sesuai dalam hidup ini untuk dia. Tapi itu mengikut kata kedua orang tuanya, bukan dia. Lagipun kalau betullah Roza tu adalah pilihan dunia akhirat yang sesuai untuk dia, kenapa mereka berdua tak pernah serasi bersama? Entahlah, dia sendiri tak faham kenapa Roza tetap mendapat tempat di hati semua yang ada di sini.
Baru nak berehat sebentar di ruang tamu, Amin disapa dengan seribu satu soalan yang buat dia rasa macam nak marah pada semua yang bertanya.
“Amin, Roza tak balik lagi ke?”
“Bila nak baliknya? Takkan biar isteri lari macam tu aje. Dah bertahun ni, pujuklah dia balik.”
“Kawan perempuan Amin tu nama siapa? Masih lagi ke dengan budak tu? Roza macam mana pulak?”
“Raya tahun ni macam mana? Roza balik ke tak?”
Tak tahu mana satu yang nak dijawab dulu. Terasa macam dihentam dengan meriam buluh pun ada, bom atom pun ada. Setiap soalan seolah-olah menunding jari pada dia. Dialah punca Roza pergi. Dialah punca Roza membawa diri bla bla bla…sedangkan itu adalah keputusan Roza sendiri.
Lagi satu, waktu begini jugalah geng sepupu sepapat aka makcik bawang cuba mencari peluang untuk bash dia berhabis. Kalau bukan sebab demi majlis aqiqah anak Shima, adik perempuannya yang lagi satu, dia takkan datang pun ke rumah orang tuanya. Kiranya sekarang terpaksa dia tunjuk muka takut Shima berkecil hati dengannya.
“Jemputlah makan. Jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri. Kalau nak tambah lagi boleh terus ke dapur, layan diri.” Amin senyum dan jari menunjuk ke arah dapur. Malas dia nak melayan geng di ruang tamu. Soalan-soalan tadi, dia biarkan saja dibawa angin lalu.
“Buat tak dengarlah tu.”
“Sebab tulah Roza tinggalkan dia.”
“Entah bila baru nak berubah.”
Cakaplah apa pun, Amin buat tak dengar. Geng makcik bawang memang begitu, kutuk depan-depan. Kadang-kadang bukan main lagi menyindir, tak padan gaya acah-acah alim bertudung labuh segala. Namun mulut….!
“Amin, dengar tak ni? Raya tahun ni bawa Roza balik ke sini.”
Itulah ayat terakhir yang Amin dengar sebelum dia berlalu keluar. Ikutkan hati nak aje dia balik terus tapi demi Shima sekeluarga, dia batalkan niat. Oh ya, ayat terakhir itu tadi datangnya dari mulut Tok Pah sendiri. Tapi memandangkan ini bukan kali pertama Tok Pah cakap begitu, dia buat tak kisah.
Kalau keluarga nak Roza balik, pergilah telefon Roza sendiri suruh balik. Bukan Roza tak tahu jalan pulang pun. Beli tiket kapal terbang, lepas tu bila dah sampai KL datang terus ke sini. Waktu tu sesiapa yang rindukan Roza bolehlah melepaskan rindu masing-masing. Senang cerita. Nak harapkan dia pergi menjemput gadis itu?
Memang taklah!