Tuesday, October 26, 2021

Katakan Cinta (Bab 2)

 


BAB 2

 

 

LUNA pandang Jeyhan atas bawah. Lepas tu dia memalingkan wajah ke lain. Sakit hati tengok muka Jeyhan yang sentiasa tersenyum. Memanglah kacak tapi…haih!

“Kenapa ajak datang sini?”

“Nak beli sayur.”

Luna menjeling. Menyesal tanya. Dia pun satu, takkan Jeyhan saja nak ajak dia masuk ke kedai mewah Cartier ini untuk bertekak.

“I want you to choose our wedding rings.”

Haaaaa…masih di alam mimpi lagi ke si Jeyhan ni? Dia tak pernah cakap pun yang dia bersetuju untuk berkahwin dengan Jeyhan. Dia berpaling menghadap Jeyhan dan berpeluk tubuh.

“Jeyhan, jangan paksa boleh tak? Saya tak dapat terima awak dan tak akan terima awak.” Luna menjegilkan mata. Kalaulah dia raksasa Godzilla, dah lama dia  makan Jeyhan.

Jeyhan ketawa kecil. Dia mendepakan tangan di sofa dan menyilang kaki. Lagi lima hari dah nak kahwin, Luna masih memberontak tak mahukan dia. Jangan sampai dia guna taktik kotor sudahlah. Kalau boleh dia tak nak benci Luna padanya semakin mendalam.

“Tak kira walau masin macam mana pun teh yang awak bancuh, saya masih nakkan awak. Tak kira walau teruk macam mana pun awak calarkan kereta malam tu, saya tetap takkan berubah hati.” Jeyhan berkata selamba.

Masih teringat lagi teh yang dia minum beberapa hari lalu waktu masuk meminang. Ya Tuhan….terasa macam sekilo garam Luna humban masuk ke dalam teko teh. Dia tahu Luna saja nak kenakan dia. Bukan main Luna gelak bila dia terbatuk-batuk. Lepas tu bila balik, sempat Luna keluar dan menggores tepi kereta dengan syiling tanpa rasa bersalah.

“Ceh, setakat minum teh campur garam pun nak kecoh. Dah cukup baik saya tak tiru resipi P Ramlee kikis bontot periuk untuk dibuat kopi.” Luna menjeling geram. Tapi seronok pula Jeyhan melepaskan tawa. Tak tahu apa yang lucu sangat bagi Jeyhan, sedangkan dia bukan main lagi tunjuk muka singa lapar.

“Kalau nak kenakan orang, ada aje idea kreatif awak.” Jeyhan rasa terhibur biarpun Luna tengah marah.

“Good morning, beautiful couple. My name is Affendi and I will…”

Good morning apanya dah nak dekat pukul 12 tengah hari.” Luna potong ayat pekerja yang menyapa mereka berdua.

“Sorry, she is a bit moody today.” Jeyhan meminta maaf. Kesian pula tengok wajah Affendi yang terpinga-pinga. Dia yang buat Luna marah, pekerja di sini pula yang kena tempias. Bila dia pandang Luna di hadapan, Luna mengetap bibir dan menjeling tajam macam nak makan dia.

“It’s okay sir. We have prepared the designs that you have requested. Would you like to see them now?” Affendi masih mesra macam tadi biarpun sedikit terasa dengan layanan dingin pelanggan hari ini.

“Yes, please...thank you.”

“Tak payah tengok, saya tak nak kahwin.”

Haiyaaaa…Luna oh Luna. Jeyhan memberi isyarat menyuruh agar Affendi meninggalkan mereka berdua. Kalau slow talk masih tak berkesan untuk Luna, dia terpaksa guna Plan B.

Jeyhan bangun dan beralih ke tempat duduk yang kosong di sebelah Luna. Dia pandang Luna yang memalingkan wajah ke lain tak nak pandang dia.

“Luna, boleh tak awak jangan degil sangat? Just choose whichever design you want so that we can just get out of here.” Jeyhan masih berlembut.

“Masalahnya saya tak nak kahwin pun dengan awak. Berapa ribu kali saya kena ulang ayat yang sama? Nak tahu kenapa? Sebab saya dah ada orang lain. Anyway, forced marriage is not doing us any good, Jeyhan. Tolonglah.” Luna melawan pandangan Jeyhan.

Then you should tell you dad. Dia yang bersetuju untuk terima saya sebagai menantu.”

“Saya tak percaya itu adalah keputusan papa sendiri. Papa tahu saya dah ada orang lain dan papa takkan…”

“Lupakan Haris. Lelaki tu tak sesuai untuk awak.” Jeyhan tak suka dengar Luna sebut nama Haris. Dia alergik gila dengan nama Haris sebab bagi Jeyhan, lelaki itulah yang menjadi penghalang utama untuk Luna terima dia.

Luna ketawa sinis. Memang stalker habis Jeyhan ni, sampaikan nama kekasihnya pun Jeyhan tahu. Dia mendekat hingga jarak wajah mereka berdua hanya tinggal beberapa inci.

“Habis tu awak ingat awak sesuai untuk saya? Ingat Jeyhan, cinta tak boleh dipaksa dan hal kahwin bukan boleh dibuat main.” Perlahan suara Luna.

Sakit hati. Benci. Marah. Sedih. Patah hati. Semuanya menjadi satu. Dahlah beberapa hari ini sabarnya makin menipis melayan perangai kebudak-budakan Haris yang semakin menjauh. Haris merajuk sejak dapat tahu yang dia akan disatukan dengan lelaki lain. Sejujurnya Haris bukanlah pilihan hati sangat pun. Dia bukannya jenis cinta mati dan tak boleh hidup tanpa Haris. Cuma Haris saja pilihan yang dia ada sekarang untuk mengelak dari berkahwin dengan Jeyhan.

“Saya tak pernah anggap isu kahwin ni main-main.”

“Habis tu kenapa masih nak paksa saya untuk terima awak? Saya dah ada lelaki lain yang saya cintai. Tolonglah faham.” Seriuslah Luna dah tak tahu macam mana lagi nak susun ayat untuk menyedarkan Jeyhan yang lelaki itu bukan untuk dia.

“Lelaki yang awak cintai tu adalah lelaki yang tak berguna, Luna.”

Panas hati Luna. Mulut mamat ni memang boleh tahan pedas. Tak sempat dia membalas, staff tadi muncul semula dengan dua buah tray yang penuh dengan cincin dan diletakkan di atas meja.

“Now forget about your fairytale love story and start choosing which ring you like the most.” Jeyhan tersenyum nipis. Bukan Luna saja yang naik marah, dia pun dua kali lima. Seriuslah dia tak boleh dengar langsung nama Haris. Tapi hati masih mampu bersabar, tak mahu ada drama di antara mereka berdua di sini.

Luna mengetap bibir dan tangannya digenggam erat. Senyuman Jeyhan. Pandangan mata Jeyhan. Wajah kacak Jeyhan. Semuanya membencikan!

“Jeremy, kejap.”

“Affendi, his name is Affendi.” Makin lebar senyuman Jeyhan. Agaknya Luna memang ada masalah untuk mengingati nama orang.

Affendi berpaling semula, tak jadi dia berlalu keluar.

“Anything I can help you with, miss?”

“I choose the most expensive ring you have in here.” Luna bercakap dengan Affendi tapi mata menikam tajam ke wajah Jeyhan. Lantaklah berapa pun harganya nanti, bukan dia yang bayar. Dia tak tahu pun asal usul Jeyhan, tapi harapnya bankruptlah Jeyhan lepas beli cincin di tempat alah begini. Lagi satu, dia dah berikrar di dalam hati yang dia takkan berkahwin dengan Jeyhan!

Jeyhan tersenyum nakal. Jangan sampai Luna terkejut bila tengok jenis cincin itu nanti.

 

 

DUM!

Jeyhan melepaskan keluhan. Angin taufan Luna sedikit pun tak surut sejak keluar dengannya pagi tadi. Sekarang dengan pintu kereta yang tak bersalah tu pun Luna hentam sekali.

“Ini rumah siapa pulak?” Luna bertanya bila Jeyhan keluar dari perut kereta dan berdiri di sebelahnya. Taklah sebesar rumah papa tapi kawasan rumah sangat luas. Punyalah dia menjerit-jerit di dalam kereta sebab nak balik terus, Jeyhan bawa pula ke tempat yang agak jauh dari bandar ini.

“Your new home.”

“Huh….bermimpi lagi rupanya. Jeyhan, nak tanya sebab saya teringin sangat nak tahu. Siapa awak? Kenapa beria sangat nak kahwin dengan saya? Apa yang awak dah buat dekat papa sampai papa bersetuju dengan perkahwinan ni tanpa mengambil peduli tentang keputusan saya sendiri? Apa yang awak nak sebenarnya?”

Berterabur soalan Luna. Sungguhlah dia masih tak boleh ‘brain’ bagaimana dia boleh muncul dalam hidup Jeyhan. Sumpah dia tak kenal dan tak pernah berjumpa Jeyhan pun sebelum ini.

“Banyaknya soalan. Pilih satu soalan yang awak betul-betul nak tahu. Yang lain saya takkan jawab.” Jeyhan senyum. Dia menarik lengan Luna agar beriringan dengannya menuju ke pintu utama rumah namun ditepis Luna kasar. Tapi sekurang-kurangnya Luna ikut juga dan tak memberontak macam tadi.

“Apa yang awak nak sebenarnya?”

“I need you.”

Terhenti langkah Luna. Wajah selamba Jeyhan dipandang. Baru sedar yang dia pilih soalan yang salah. Patutnya dia tanya siapa Jeyhan atau kenapa Jeyhan beria sangat nak kahwin dengan dia.

“But why me?” Luna tak puas hati dengan jawapan Jeyhan.

“I told you I will only answer one question, Luna.”

Luna menarik nafas dalam. Senyuman Jeyhan di sebelahnya tak mampu meredakan marahnya pada Jeyhan dari tadi.

“Jeyhan, saya tak tahu nak cakap apa. Tapi saya rasa awak memang gila. Please, batalkan saja perkahwinan kita sebab saya tak nak hidup dengan awak. Saya benci awak Jeyhan.”

Nada suara Luna bertukar kendur, dah tak lantang macam tadi. Kalau cara kasar langsung tak jalan, terpaksa dia berlembut dengan Jeyhan. Seriuslah dia dah pening sendiri memikirkan masalah besar yang dihadapinya sekarang.

Jeyhan tak terus menjawab. Dia pandang ke dalam anak mata Luna yang sudah mula berair sebelum melepaskan keluhan berat. Dia tahu Luna rasa terseksa, ribut petir tak ada tiba-tiba disuruh berkahwin dengan lelaki yang tak dikenali. Tapi dia tak ada pilihan lain sebab hanya itu saja caranya untuk mendapatkan Luna.

Jeyhan mendekat dan pipi Luna dipaut lembut. Wajahnya juga kian mendekat.

“Hating me without knowing me first is so unfair, Luna. So don’t hate me yet, because I’m still trying to do better to win your heart.”

Luna terdiam. Tadi bukan main dia menyumpah seranah Jeyhan di dalam hati. Malah dia mahu terus membenci. Ni dah lain. Renungan Jeyhan. Suara Jeyhan. Gaya bersahaja Jeyhan. Semuanya buat Luna jadi tak keruan.

“Tepilah!” Luna menolak tubuh Jeyhan yang begitu dekat dengannya sebelum dia terbuai dan terbabas di tangan lelaki itu.

“Tak payah nak try hard to do better or whatever shit you call it, awak takkan dapat tempat di sini.” Luna tunjuk ke dada sendiri. Dia sendiri akan pastikan yang nama Jeyhan takkan tersemat di hati sampai bila-bila.

“Jangan yakin sangat, Luna. Tak kenal maka tak cinta.” Jeyhan mengangkat kening.

Ah, sudah. Dua-dua tak mahu mengalah! JK yang berdiri tak jauh dari situ dan memasang telinga dari tadi menggeleng kepala. Dia dah mula berfikir apa kesudahan kisah Jeyhan dan perempuan yang dicintai.

Happy ending?

Sad ending?

Susah untuk diagak! 

No comments:

Post a Comment