Thursday, November 8, 2018

BIARKAN PERGI (BAB 1)




MATA INSYIRAH melilau melihat sekeliling. Kepala toleh kiri kanan tapi bayang-bayang Chiko masih tak kelihatan lagi. Hati dah naik geram sedikit. Jam Chiko tak sama dengan jam dia ke walaupun duduk sama di Kuala Lumpur? Janji nak datang pukul satu petang, sekarang dah hampir jam dua namun teman baiknya itu masih belum sampai.
Patutnya Insyirah datang pukul dua aje tadi, dah tahu penyakit lambat Chiko tapi yang dia datang tepat waktu apa cerita? Sekarang duduk tercongok-congok di The Coffea Bean & Tea Leaf ini. Vanilla Ice Blended yang dipesan hanya tinggal sedikit saja lagi.
Nak duduk ala-ala lone ranger sambil menyumbatkan earphones ke dalam telinga, bateri iPod dah habis. Sudahnya dia duduk sambil membelek telefon sendiri. Taklah canggih mana. Zaman sekarang semua nak pakai telefon yang walawei. Lebih-lebih lagi model terbaru iPhone dah keluar, tak pun Huawei dengan kamera canggih yang setanding kamera DSLR. Telefon Insyirah? Ehem..biasa-biasa saja, tapi in denial state kata nampak ada kelas la jugak walau tak ‘fulamak’, nama apa? Samsung Note 3 dengan casing berwarna pink. Padan dengan dia yang baru habis belajar dan girlish kata Chiko.
Zaman belajar dulu, tak berani minta telefon yang canggih dan mahal dari papa. Papa pandai ‘smashed’dengan cara halus. Dulu dia minta belikan iPad, papa kata tak payah. Dah ada laptop tu cukuplah, nak iPad buat apa? Nak jawab balik, tak pandai dan tak berani. iPod yang ada ni pun Uncle Joe yang berikan sempena hari jadinya tahun lepas. Kalau bukan pemberian paksunya itu memang sampai ke sudahlah tak merasa ada barangan keluaran Apple.
“Hello.”
Insyirah mendongak, lelaki di meja sebelah menegur dengan senyuman di bibir. Insyirah blur. Toleh belakang, tak ada orang. Erm..hello dengan dia lah tu. Insyirah sekadar tersenyum nipis sebelum tunduk semula menghadap skrin telefon. Otak sedang dikerah untuk meneka perkataan seterusnya. Dia dah kira ketagih dengan permainan ‘4 pictures 1 word’ sejak beberapa minggu yang lalu.
“Alone?”
Insyirah mendongak lagi. Lelaki tadi masih tersenyum padanya. Tak nampak ke dia duduk gaya forever alone kat sini? Abuden!
“A’ah.” Walau dalam hati sedikit menyampah, tapi Insyirah jawab penuh sopan dan pendek. Muka ‘market’ tapi nahhh...gaya usha macam epic fail Insyirah tak minat. Kalau dah nama pun di premis santai begini, silalah buat gaya santai. Minum dan makan apa yang patut, bukannya masa untuk ‘hai’ segala sambil cuci mata macam lelaki di meja sebelah ni.
 “I’m Rain Cool. Just call me Rain.” Rain perkenalkan diri. Gadis yang menarik perhatiannya ini tampak cantik. Dengan cermin mata hitam yang disangkutkan di atas kepala, si gadis tampak manis dan santai. Tapi muka tu ketat sangat, senyum pun nak tak nak.
Insyirah rasa nak tergelak tapi dia senyum sahaja. Kalau setakat nama macam jenama pencuci kereta, serius dia tak nak. Seram yaw! Ni kalau kenalkan dengan papa mesti papa jatuh pengsan sebab nama tu macam ‘retis’ gitu. Entah-entah nama Rayyan, dibuatnya jadi Rain. Ala...orang zaman sekarang kan gitu. ‘Trip’ cool. 
Bakar jadi Burn.
Khairul jadi Roll.
Arshad jadi Shade.
Bakhtiar jadi Blade.
Pekebende?
Insyirah masih tersenyum seperti tadi. Malas dia nak melayan. Dalam hati dah rasa nak cekik Chiko, pakai beca ke apa minah ni sampai sekarang tak sampai lagi? Malas nak ‘geli-geli’, Insyirah bangun. Sekarang tak ada mood nak sesi suai kenal atau main ‘pancing’ dengan lelaki di meja sebelah. Lebih baik tunggu di dalam kereta, buat gaya protes sedikit dengan Chiko. Kalau tak sampai-sampai juga nanti, sorry ‘adios’ Insyirah batalkan saja rancangan membeli-belah untuk hari ni.
Mata Rain terkebil-kebil. Baru nak bertanyakan nama, gadis yang memakai baby-T yang berwarna kuning itu bangun....dan blah. Aik!



TERKOCOH-kocoh Jai masuk ke dalam The Coffee Bean & Tea Leaf. Harap-harap janganlah Rain meletup. Janji dicaphati sungguh, dia yang ajak untuk melepak dan tentukan masa tapi sendiri pula yang terlambat. Kena sembur dia tak kisah, tapi kalau Rain tayang  mogok tak nak meneruskan plan mereka berdua macam budak-budak tu yang dia tak tahan.
Telefon bimbit di dalam poket seluar tiba-tiba berbunyi. Terkial-kial Jai menyeluk poket seluar. Lagu ‘Sayang’ nyanyian Shea yang nyaring buat dia malu. Serius malu! Tak ada ringtone lain ke?
BFF Sherry.
Berkerut kening Jai bila nama tertera di skrin telefon. Nak ‘slide’ butang hijau ke butang merah. Kalau butang hijau dia nak cakap apa? Argh! ‘Slide’ yang merah ajelah senang cerita!
Baru nak berbuat demikian, bahu Jai terlanggar sesuatu. Belum sempat dia mendongak, ‘sesuatu’ yang dilanggar tu dah terjelepuk di atas lantai. Telefon bimbit di tangan terlepas dari pegangan dan elok mencium lantai.
Jai terkejut.
Insyirah pun turut terkejut sambil mengaduh sakit.
Mata tercari-cari telefon bimbit kesayangan. Laju saja tangan Insyirah mencapai telefon bimbit berwarna pink di atas lantai.
Oh my baby! My pink baby!
“Miss, sorry. Sorry. I’m so sorry!” Jai tunduk dan menghulurkan tangan, dengan niat mahu membantu si gadis untuk bangun semula. Kesian tuan punya badan. Inilah akibatnya kalau berjalan mata letak kat kepala lutut.
Tangan yang dihulurkan disambut Insyirah.  
“It’s okay.” Tanpa mendongak, Insyirah melepaskan pegangan tangan dan bergegas keluar. Malu wei! Malu! Nak sembunyi dalam kereta sampai Chiko muncul. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam tas tangan. Nasib masih ‘intact’ lagi, jangan saja ‘hang’ nanti.
Sampai di tempat letak kereta, tubuh Insyirah bergegas masuk ke dalam perut kereta. Baru nak memasang enjin, cermin pintu diketuk dari luar. Spontan tangan Insyirah mengunci pintu. Terlupa tadi sebab otak masih mencerna rasa malu yang belum habis. Biasanya masuk saja ke dalam kereta, itu adalah perkara pertama yang dia buat. Ya lah, zaman sekarang ni duduk elok dalam kereta pun boleh kena ragut. Kena sentiasa alert dan berhati-hati.
Ketukan kali kedua di cermin kereta buat Insyirah terkejut lagi. Dia toleh ke kiri. Seorang lelaki yang memakai cermin mata hitam dan berbaju pink  berdiri di sisi kereta sambil tersenyum.
“Nak apa?” Insyirah menyoal namun beberapa saat kemudian....
Cis! Mana lelaki tu dengar, dia kan dalam kereta! Insyirah tak berani membuka tingkap, kang tiba-tiba diacukan pisau Rambo di leher pengsan dia. Benz yang dipakainya ini pun bukan kereta dia, papa yang punya. Kena curi okey lagi, tapi kalau dengan dia sekali kena bawa lari? Kesian papa dan mama!
Miss. Buka tingkap. Phone awak. Phone saya.” Jai tunjuk telefon berwarna pink yang dipegangnya.
Si cantik tak tengok betul-betul, main rembat saja dari lantai sampai tertukar telefon. Jangankan nak mengenal pasti telefon sendiri, tengok muka dia yang melanggar ni pun si cantik tak ambil pusing.
Insyirah amati betul-betul dari dalam kereta. Macam ‘Samseng’ Note 3 miliknya. Di sebalik cermin mata hitam yang baru dipakainya, Insyirah amati wajah lelaki itu. Tak nampak sangat, lagi pula kereta papa ‘tinted’ sedikit. Tapi tak macam aura orang jahat. Ada gaya! Mamat ni ke yang langgar aku tadi? Hati tertanya sendiri.
Perlahan-lahan Insyirah turunkan cermin kereta. Cermin mata hitam disangkutkan di atas kepala semula. Baru nak bertanya, lelaki tinggi itu sudah membuka mulut.
Hello, ni phone saya. Awak punya yang ni.”
Insyirah terdiam. Mata kelip-kelip. Baru sekarang dia dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Daniel Matsumaga? Channing Tatum? Jangan berangan! Ini Malaysia, tang celah mana muncul Channing Tatum?
“Errr..err..phone saya ke?”
Insyirah gagap. Bila di depan muka ‘hot market’ macam ni mulut pun dah tak betul, slurred speech.
“Ya, mine is also pink. Can I have mine back please?” Jai tersenyum sambil hulurkan telefon bimbit di tangan.
Riak Insyirah berubah terkejut. Memang telefon bimbit dia! Tas tangan diseluk Insyirah, mencapai telefon bimbit yang disangka miliknya.
“Erk!”
“Haaaa..that’s the one. Now give me back mine. I’ll give back yours.”Jai tunduk sedikit di tepi cermin kereta dengan senyuman yang tak lekang di bibir dari tadi.
Ternganga mulut Insyirah. Dalam masa lima saat dua telefon bimbit bertukar tangan.
Pink?
Seriously pink?
Girlish pink?
“Awak punya ke?” Insyirah tak percaya. Sama warna dengan casing telefon dia, mana dia tak melopong. Pakai baju warna pink tu dia boleh terima lagi. Tapi casing telefon?
No! No!
Tak padan muka ‘macho’.
Jai masih tersenyum.
Damn! Malu gila! Ni Isya, adik dia yang punya. Pagi tadi masa dia masih tidur, selamba tikus Isya masuk ke dalam bilik dan rembat iPhone miliknya di atas meja bersebelahan katil. Siap tinggalkan nota kata ‘Abang, Isya pinjam telefon k. Isya punya tak best. Only for today. Love you!’
Muka Insyirah blur. Kemudian jadi riak ‘homaigod’ dan akhirnya tawa Insyirah meletus. Muka kemain handsome tapi warna telefon?
“You really made my day, mister!” Insyirah masih dengan sisa ketawanya. Tak sangka! Ada juga lelaki yang pakai benda berwarna pink ke? Ni mesti bagitau Chiko nanti.
“Tak payah nak terkejut sangat. Real men wear pink.” Jai tanggalkan cermin mata, tunduk lagi sedikit hingga jaraknya dengan si gadis tinggal beberapa inci saja lagi. “By the way, nice car. DK 123. Will remember the number for sure.”
Insyirah terdiam. Tak sempat nak menjawab, lelaki tadi sudah berlalu pergi. Sempat lelaki itu berpaling semula, kenyitkan mata dan melambai padanya sebelum melangkah masuk ke dalam The Coffee Bean &Tea Leaf. 
Erk?!
Encik Handsome, sila jangan ingat nombor plat kereta ni. Ni kereta papa saya! 




p/s : Untuk pre order boleh PM saya atau wassap ke nombor 018-391 3947. Pengeposan adalah pada pertengahan November nanti. Love loads! 



No comments:

Post a Comment