Saturday, June 13, 2020

Dear Zaara (Part 2)




KALAU semalam makan bersama Datuk Borhan, malam ini mereka berdua singgah di rumah keluarga Ian sebab mommy ajak makan sekali. Zaara tak cakap banyak, kalau Ian okey dia pun okey aje.
Dari mereka berdua sampai tadi, Zaara asyik ‘melekat’ dengan mommy sebab dia malas nak bermesra alam dengan yang lain. Tak tahu pulak ada saudara mara Ian datang sekali. Kalaulah dia tahu, dia sanggup buat-buat sakit perut dekat rumah semata-mata sebab mahu mengelak.
“Mmm, sedap! Nanti minta resipi boleh?” Berselera Zaara makan begedil tauhu yang mommy baru goreng. Panas pun panaslah, dia hentam aje masuk mulut. Yang penting sedap, malah jauh lebih sedap dari yang dijual di kedai.
“Senang aje. Zaara google pun boleh. Tapi nantilah mommy bagi resipi. Ini  memang salah satu kegemaran Ian.”
Owhhh, baru tahu. Selama ni mana Zaara pernah tanya apa makanan kegemaran Ian, silap hari bulan dia yang kena makan.
“Zaara dengan Ian okey?” Aida bertanya. Tengok muka menantu yang tampak bahagia, dia yakin hubungan Ian dan Zaara sangat baik. Saja dia nak tanya sebab nak dengar dari mulut Zaara sendiri.  
“Okey. Ian layan Zaara baik sangat.” Mulut Zaara masih penuh dengan makanan. Layanan Ian taklah ‘heaven’ sangat umpama sayang setinggi gunung seorang suami pada isteri.
Ian yang kedekut dengan senyuman. Yang tak pernah ajak dia berbual kosong dekat rumah. Belum lagi kalau masuk bab Ian bad mood lepas pulang dari kerja. Singa betina yang tengah PMS pun kalah.
Tapi Ian masih mengambil berat tentang dia dan Ian sedar dia masih tanggungjawab lelaki itu, itu pun dia dah cukup bersyukur. Tapi soal Ian jatuh cinta ke tak pada dia, itu susah nak cakap.
Makin sejuk hati Aida dengar. Bahu Zaara dipeluk erat.
“Mommy tahu kami tak salah pilih menantu. Siapa yang takkan jatuh sayang pada anak sebaik Zaara.”
Pertama kali melihat Zaara di Zurich lagi, Aida memang sudah tertawan. Nak sangat dia jadikan Zaara sebagai menantu. Malah semuanya berjalan lancar bila pinangan untuk Ian diterima pihak Zaara tanpa halangan.
Zaara tersenyum. Bukan nak memuji diri sendiri, tapi memang semua yang mengenalinya akan menyukainya. Malah kalau dikira, bersusun lelaki yang ingin mendampingi tapi dah tersurat jodoh dia dengan Ian. Tak tahulah Ian ni sebenarnya lelaki dari planet mana. Ian saja yang tak pernah jatuh cinta padanya jika nak dibandingkan dengan yang lain. Jadi tak tahu sampai bila perkahwinan mereka berdua akan bertahan.
Selesai membantu mommy di dapur dan menghidangkan makanan di ruang makan, lebar senyuman Zaara bila Ian datang dekat dan mengambil tempat di sebelahnya.
“Mommy ke yang masak semua ni?” Bersinar mata Ian. Ayam masak merah. Daging masak hitam. Petai sambal. Macam-macam ada. Tekak Melayu sungguh dan hampir semua adalah lauk kegemarannya!
“Zaaralah. Mommy assistant aje.”
Tangan Ian yang menyenduk nasi ke pinggan Zaara statik sesaat dua. Pandangan mata menala pada Zaara yang menyimpul senyum. Lebih tepat lagi, senyuman yang tak berapa manis di pandangan matanya. Mungkin Zaara risau dia tak menjamah mana-mana yang terhidang. Ya lah, dekat rumah mana dia pernah rasa, sentuh pun tak.
“Tambah nasilah kalau macam ni.” Ian berseloroh. Nasi disenduk ke pinggan Zaara dan akhir sekali ke pinggan sendiri.
Sepanjang makan, Ian tak banyak cakap. Ada jugak sekali dua dia sendukkan lauk untuk Zaara. Dalam hati melambung tinggi pujiannya pada masakan Zaara. Tapi nak puji depan-depan dia malu pulak. Ego seorang IanYusuff yang setinggi langit manalah nak dilawan.
Zaara di sebelah pun diam aje. Nak juga tanya masakan dia sedap ke tak. Ini pertama kali Ian merasa air tangannya, nak tunggu markah dari Ian mak aiii… punyalah sengsara.
“Anak Haji Leman baru bersalin dua hari lalu, dapat baby boy. Kamu berdua bila lagi?”
Hampir tersembur petai sambal yang dikunyah. Cepat-cepat Zaara meneguk air di dalam gelas. Aunty Alia kalau bab nak buat orang mati tercekik memang hebat. Dah macam tak ada soalan dekat dalam dunia ni yang boleh ditanya.
“Pelan-pelan.”
Ian di sebelah turut terkejut namun dia berlagak biasa. Belakang Zaara diusap perlahan. Habis air di dalam gelas Zaara, dia suakan pula gelasnya yang masih penuh berisi. Dia setakat jeling muka selamba Aunty Alia yang tersenyum sinis memandang dia dan Zaara.
“Laaaa, dorang baru kahwin berapa bulan. Bulan madu pun belum. Tak payah nak bandingkan sangat dengan anak Haji Leman.” Umar mencelah. Dia sangat tak suka kalau adik ipar sibuk tentang hal mereka anak beranak. Kecoh nak tanya itu ini, hal sendiri pun tak terurus.
Merah wajah Zaara. Kalau jenis yang tak beradab, sedap aje dia sembur balik spesis mulut longkang macam Aunty Alia. Tapi atas rasa hormat dia diam saja. Bila Ian masih mengusap belakangnya, dia tahu Ian cuba menenangkan perasaanya.
“Makcik bawang awak ni pernah kena libas dengan selipar tak? I feel like hitting her so badly.” Zaara berbisik perlahan. Haji Leman pun dia tak kenal, buat apa bising nak heboh tentang anak orang? Dasar penyibuk!
“Tak pernah lagi rasanya. Nak try? I can help you.
Membuntang mata Zaara. Ian siap kenyit mata lagi dan selamba memeluk bahunya.
“Aunty Alia, kekasih Shikin dah jumpa belum? Baik settle cepat sebelum perut Shikin makin besar. Kalau heboh nanti malu satu family.” Ian balas balik dengan riak selamba. Tak pernah pun dia kurang ajar, tapi hari ini ringan mulut nak kenakan Aunty Alia.
“Ian.” Umar berdehem. Tengok muka Alia yang sudah bertukar merah padam pun dia dah tahu Alia marah dengan ayat puaka Ian. Pedas sangat kot ayat Ian, membuatkan Alia betul-betul terdiam.
“Aunty tak payah sibuk hal rumahtangga saya dengan Zaara. We are happy in our own way. Kalau setakat Ian yang terasa tak apa, tapi Ian tak suka kalau Zaara pun terasa sekali,” Ian menyambung ayat.
Shikin, anak Aunty Alia yang bunting dekat Singapura tu siapa yang nak bertanggungjawab? Dia tahu hidup Shikin yang terlampau bersosial, bawa balik lelaki untuk ‘one night stand’ bukan perkara yang baru bagi Shikin. Nasiblah kalau tak dapat cari pak sanggup untuk menutup malu.
“Ian, watch your mouth son.” Aida terpaksa campur tangan. Mulut Ian macam daddynya juga. Kalau dah memang tak suka, ikut hati nak sembur macam mana. Bila dia jeling suami di sebelah, Umar jungkit bahu isyarat tak nak masuk campur. Sokong sangatlah perangai Ian tu. Padanlah sangat like father, like son.
“Errr….hal anak aunty tak payah sibuk. I can handle her.” Setakat tu aje jawapan yang Alia mampu berikan. Membahang rasa wajah yang malu bercampur marah.
And I can handle our life too. Jangan kepochi sangat sudahlah.” Ian senyum. Dia malas sebenarnya nak melayan sangat tapi jenis komuniti mulut longkang macam Aunty Alia patut diajar sekali-sekala. Sempat dia menyuap hirisan mangga ke dalam mulut Zaara di sebelah.
“Kalau dia masih sakitkan hati awak, let me know.” Perlahan saja suaranya berbisik. Ian cakap apa yang betul, bukan sekadar menyedapkan hati Zaara di hadapan orang lain.
Zaara di sebelah tak tahu nak cakap apa. Dia setakat angguk kepala, lepas tu sambung mengunyah apa saja yang Ian sumbat masuk ke dalam mulutnya. Tipu cakap kalau dia tak tersentuh dengan kata-kata Ian. Malah reda semua rasa perasaan marah dan tak puas hatinya pada Aunty Alia. Walau mungkin hanya sekadar lakonan dan membuatkan dia bahagia seketika.
“Thank you.”
“Jarang saya dengar isteri saya ucap terima kasih.” Ian senyum.
Zaara mencongak apa reaksi yang sesuai unuk ayat Ian. Nak senyum ke nak diam dan sambung makan buah. Hakikatnya, dia selalu saja berterima kasih pada Ian. Sang suami saja yang tak pernah sedar atau menghargai. Untuk dicintai dan dihargai, dia takkan berhenti berdoa…

KELUAR dari bilik, panjang leher Zaara mencari kelibat Ian di bilik sebelah. Tak nampak pun sejak balik dari rumah mentua tadi. Malas-malas dia menapak ke tingkat bawah. Kalau Ian buat minuman di dapur sana, boleh juga dia poke minta buatkan sekali.
“Kalau tak makan macam mana nak sihat?”
Betul tekaan Zaara, dengar saja suara Ian di dapur tergerak hati nak tahu Ian sedang bercakap dengan siapa. Tengok muka Ian macam serius semacam dengan telefon ditekap ke telinga.
“I know but I can’t be with you all the time.” Ian memperlahankan suara bila Zaara menapak ke dalam dapur. Waktu begini jugalah Adiya buat hal. Kadang-kadang dia rasa tak senang hati dengan perangai keanak-anakan Adiya sejak dia berkahwin. Nak manja-manja memang tak salah, tapi kalau sampai ke tahap yang buat dia rasa rimas tu yang dia tak berapa berkenan.
“I’ll call you later. Make sure you take your medication on time.”
Zaara dengar aje perbualan Ian dengan entah siapa di dalam telefon. Adalah juga dia dengar Ian memujuk. Bila dengan dia tak pernah pula suara sendu macam tu. Dengan langkah malas dia menuju ke peti sejuk dan mencapai coklat Cadbury yang tinggal lagi separuh sebelum menyertai Ian di meja kaunter.
“Tak tidur lagi?” Ian letak telefon di atas meja.
“Dah tidur. Sekarang tengah sleep walking.”
Mulut! Ian menahan rasa, dahlah angin tak berapa bagus. Mujur Zaara senyum sambil menongkat dagu dekat depan ni, sejuk sikit mata memandang. Kalau tak, ada jugak yang dia sembur dengan cili padi.
“Tak dapat tidur, and I was looking for you dekat atas. Buatkan hot chocolate, please.” Sempat mata Zaara menala pada skrin telefon Ian di atas meja. Ada mesej WhatsApp masuk dari Adiya. Tak tahulah Adiya tu siapa, tapi rasanya mungkin yang bercakap dengan Ian di telefon tadi. Ian pandang sekilas aje, tak buka pun untuk baca.
“Nah, share with me.” Ian tolak mug ke arah Zaara. Kalau Zaara malas, dia dua kali ganda lebih malas. Fikiran sekarang melayang memikirkan keadaan Adiya yang demam tapi degil tak nak makan ubat. Kalau zaman bujang bolehlah dia pergi temankan Adiya malam-malam begini. Tapi dah ada isteri ni, apa yang nak dijawab kalau Zaara tanya.
“Thanks.” Bila Ian dah bagi tu bermaksud Ian tak kisah berkongsi dengannya.
“Kenapa cari saya? Ada hal nak bincang?”
“Tak adalah penting sangat. Just to thank you for being my hero today. Kalau awak tak ada, mungkin saya dah sembur mulut tempayan makcik awak tu.” Berani pula dia cari Ian malam ni. Biasanya nak tegur cakap hai pun susah.
Ian tersenyum nipis. Walaupun baru enam bulan hidup bersama, dia faham sangat perangai Zaara yang tak pandai bertapis kalau bab marah. Pernah sekali Zaara bergaduh dengan anak tuan rumah seberang sana sebab perempuan tu bawak mulut cakap Zaara perempuan simpanan dia.
“Terima kasih juga sebab awak sabar sangat dengan keluarga saya.” Ian membalas. Agaknya kalau Adiya, pasti sang kekasih dan berjauh hati.
“Keluarga awak okey aje sebenarnya. Itu kalau tak termasuk komuniti mulut bawanglah. Ni nak mintak izin, esok saya kira nak pergi…..”
Panggilan masuk ke telefon Ian di atas meja mematikan ayat Zaara. Lagi-lagi bila wajah seorang perempuan muncul di skrin. Tak sempat tengok nama pemanggil sebab Ian terus mencapai telefon di atas meja.
Excuse jap.” Ian menjauh bersama telefon di tangan.
Entah siapalah si pemanggil tu agaknya sampai Ian perlukan ruang sangat, siap keluar ke belakang rumah. Mungkinkah Adiya tadi? Malas nak jaga tepi kain suami, Zaara membawa langkah ke ruang tamu. Berbaring sambil mencari maklumat tentang Ian di Google. Rasa kelakar pula bila terasa macam jadi stalker suami sendiri.
Tapi bila browse, tak ada berita yang tak bagus tentang Ian. Tak ada skandal. Tak ada kekasih lama. Tak ada mana-mana perempuan yang mendampingi. Tergerak juga hati nak bertanya, Ian suka kaum sejenis ke? Ah, simpang malaikat empat puluh empat!

No comments:

Post a Comment